Isteri Mat Yo mohon maaf

- Friday: 2013-09-27 11:40:46'.

Siti Aisya nafi sebar video, mohon orang ramai henti cemuh suami

Siti-Aisya-Mat-Yo

“Dengan rasa rendah diri, saya minta maaf kepada seluruh rakyat Malaysia atas tindakan saya sehingga menimbulkan kemarahan semua pihak.

“Saya percaya, kebenaran kes ini akan terbongkar. Tolong jangan hukum saya tanpa mengetahui apa yang berlaku,” kata Siti Aisya Adam, 24, isteri kepada pemain bola sepak negara, Norshahrul Idlan Talaha, ketika mengulas mengenai video dia bergaduh dengan pengawal keselamatan kini tersebar luas.

Ibu kepada seorang cahaya mata itu berkata, dia tidak tahu apa motif sebenar individu yang menyiarkan video berkenaan, sedangkan kejadian perselisihan faham berlaku pada 12 September lalu, namun video berkenaan baru tersebar sejak Selasa lalu.

“Saya tidak mengetahui mengenai penyebaran video ini sehingga dimaklumkan keluarga yang turut terkejut melihat insiden berkenaan. Apa motif individu itu menyiarkan video berkenaan. Adakah disebabkan suami saya pemain bola sepak negara?

Dua individu miliki video

“Ramai menyangka saya yang menyebarkan video berkenaan, namun di sini saya tegaskan, penyebaran video itu tiada kaitan langsung dengan saya. Apa yang saya boleh cakap, hanya dua orang yang memiliki video berkenaan, namun saya enggan dedahkan sebaliknya menyerahkan kepada pihak polis,” katanya ketika dihubungi BH, semalam.

Siti Aisya yang tertekan susulan kejadian itu berkata, selepas tersebarnya video berkenaan, ramai yang marah dan mengeluarkan kata-kata kesat kepadanya, namun mereka tidak mengetahui apa sebenarnya berlaku.

“Malah, masyarakat menuduh tindakan saya memalukan suami. Saya bukan seorang biadap, kejadian ini berlaku apabila individu lain mencabar saya sehingga menimbulkan kemarahan.

“Jujur saya katakan, saya hormat orang tua kerana kehilangan bapa sejak berusia 12 tahun. Tatkala masyarakat mencemuh saya selepas melihat video berkenaan, saya tidak mampu mempertahankan diri sebaliknya hanya mampu berdoa supaya kebenaran sebenar akan timbul,” katanya sambil menangis.

Insiden kekecohan membabitkan isteri kepada pemain bola sepak negara dengan pengawal keselamatan di Subang Skypark, Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS) mula tersebar secara meluas sejak Selasa lalu.

Rakaman selama 54 saat itu turut menampakkan wajah Nor Shahrul atau lebih dikenali sebagai Mat Yo, yang menyaksikan perang mulut antara isterinya dengan pengawal keselamatan terbabit, Azman Md Nayan, 49.

Tak terlintas saman

Siti Aisya turut meminta masyarakat tidak mencemuh suaminya disebabkan insiden membabitkan dirinya, sebaliknya Nor Shahrul tiada kena mengena dalam kes terbabit.

Ditanya sama ada beliau bertindak menyaman pengawal keselamatan itu, Siti Aisya menjelaskan tidak pernah terlintas untuk bertindak sejauh itu, sebaliknya peguam dilantik selepas video berkenaan mula tersebar.

Azman Md Nayan

Isteri Mat Yo buat kecoh

Insiden kekecohan membabitkan isteri pemain bola sepak negara dengan seorang pengawal keselamatan di Subang Skypark, Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS), di sini, baru-baru ini, tersebar meluas di media sosial mulai kelmarin.

Rakaman berdurasi 54 saat itu, turut menampakkan wajah Nor Shahrul Idlan Talaha atau lebih dikenali Mat Yo, yang menyaksikan ‘perang mulut’ antara isterinya dengan pengawal keselamatan terbabit, Azman Md Nayan, 49.

Bagaimanapun, imej wanita berkenaan tidak kelihatan dalam rakaman yang dipercayai dibuat menggunakan telefon bimbit.

Insiden itu berlaku pada jam 11.42 pagi, 12 September lalu.

Berikutan insiden berkenaan, kedua-dua pihak membuat laporan polis.

Enggan mengulas

Mat Yo ketika dihubungi, malam tadi, enggan mengulas insiden berkenaan dan menyerahkannya kepada peguamnya untuk tindakan lanjut.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed, pula mengesahkan menerima dua laporan berhubung kejadian berkenaan dan siasatan dilakukan mengikut Seksyen 160 Kanun Keseksaan kerana bergaduh dan melakukan kekecohan di tempat awam.

Sementara itu, Azman mendakwa ketika dia sedang mengawasi lalu lintas di kawasan berkenaan, sebuah Mini Cooper putih berhenti di tempat letak teksi.

Azman mendakwa penumpang kereta itu meminta kebenaran untuk berhenti seketika dengan alasan mahu membeli tiket.

Bagaimanapun, selepas hampir 10 minit, kenderaan yang dipandu Mat Yo tidak beredar menyebabkan Azman meminta pasangan itu beredar.

“Saya minta mereka beredar ke tempat letak kenderaan awam jika mahu berhenti lebih lama supaya tidak mengganggu lalu lintas.

“Tindakan saya mengundang rasa tidak puas hati wanita itu (isteri Mat Yo) yang mempertikaikan tindakan saya, selain mendakwa mereka kerabat diraja dan suaminya bekerja dengan Tengku Mahkota Johor (TMJ).

“Selepas berulang kali meminta mereka beredar, wanita itu mengeluarkan kata-kata kesat serta melakukan provokasi dengan mengatakan saya bodoh dan dayus, selain merakam (menggunakan telefon) dari dalam keretanya,” katanya yang ditemui di Skypark, LTSAAS, semalam.

Elak gambar dirakam

Berikutan itu, Azman menghampiri kereta pasangan berkenaan untuk menghalang wajahnya daripada terus dirakam sebelum wanita terbabit menaikkan cermin kereta.

Katanya, kejadian itu diperhatikan Mat Yo yang keluar dari kereta ketika isterinya melemparkan kata-kata kesat.

“Mungkin kerana melihat tindakan saya menakutkan isterinya, Mat Yo menolak saya beberapa kali sebelum isterinya keluar dari kereta dan menendang celah kangkang hingga menyebabkan saya cedera,” katanya.

Print Friendly
Print Friendly
Posted by on Friday: 2013-09-27 11:40. Filed under :: BLOG ::, ISU SEMASA. You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0. You can leave a response or trackback to this entry
Komentar

Arkib

#PRAYFORMH370
Ajax spinner
Log in | Designed by Kamaluddin