Tidak Dapat Terima Kekalahan Punca Pergolakan Di Mesir – Tun Mahathir (video)

- Sunday: 2013-07-07 01:04:09'.

pergolakan-di-mesir-tun-mahathir

Yang pasti, aspek kesanggupan menerima kekalahan dan bukan kemenangan semata-mata antara asas kejayaan sistem demokrasi sesebuah negara.

Untuk itu, Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menyifatkan, pergolakan politik di Mesir tidak seharusnya berlaku kerana negara itu mengamalkan sistem yang sama.

Jelas tun, keadaan di Mesir berlaku apabila terdapat pihak yang tidak memahami konsep demokrasi seterusnya tidak dapat menerima kekalahan dalam pilihan raya yang diadakan di negara itu.

 

Sanggup Terima Kekalahan Antara Asas Sistem Demokrasi – Dr Mahathir

 Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata asas kejayaan sistem demokrasi, antara lain, perlu merangkumi aspek kesanggupan menerima kekalahan, bukan kemenangan semata-mata.

Merujuk kepada penggulingan pemimpin Mesir oleh pihak tentera dan protes besar-besaran di negara itu, Dr Mahathir berkata ini tidak harus berlaku kepada sebuah kerajaan yang dipilih melalui sistem demokrasi seperti di Mesir.

“Dalam kerajaan demokratik ada pemilihan, ada menang dan kalah, kalau kalah tak nak terima kekalahan, lepas itu buat angkara cuba jatuhkan kerajaan yang dipilih majoriti rakyat melalui aktivis demonstrasi, maka tidak ada demokrasi,” katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas melancarkan Biasiswa Tun Dr Mahathir-Yayasan Pendidikan Cheras (YPC) sempena majlis Konvokesyen Kesembilan Kolej Teknologi YPC-iTweb di sini, Sabtu.

Menegaskan nilai yang sama perlu diguna pakai di negara ini, Dr Mahathir mempersoal dakwaan pembangkang kononnya sistem pilihan raya negara ini tidak telus.

“Kalau di negara yang betul-betul menipu, kita dapati parti kerajaan akan menang 99 peratus tapi di Malaysia tidak pernah berlaku macam itu.

“Setiap kali pilihan raya umum (PRU), parti lawan tetap akan dapat kemenangan…kalau nak tipu takkan nak bagi lima negeri kalah (seperti) sebelum ini,” kata Dr Mahathir yang merujuk kepada keputusan PRU12 pada 2008.

Mengulas lanjut, beliau berkata: “Barisan Nasional (BN) terima tempat (kerusi) dia kalah, parti lawan tak nak terima, nak terima bila dia menang sahaja.

“Ini tak faham demokrasi, kalau kalah tunggu la sampai PRU satu lagi,” katanya pada majlis yang turut dihadiri isteri beliau, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali dan Pengerusi Kolej Teknologi YPC-iTweb Datuk Seri Syed Ali Alhabshee.

Mengenai calon sesuai yang patut diletakkan BN pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Kuala Besut, Terengganu pada 24 Julai ini, Dr Mahathir berkata individu berkenaan perlu dipilih dengan bijak dan diterima masyarakat setempat.

“Kalau pilih adik-beradik, kroni, orang yang…semua orang tau tak popular, kalahlah,” katanya.

Dalam pada itu, Syed Ali berkata biasiswa itu akan dianugerahkan kepada 300 pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah setiap tahun untuk mengikuti kursus asasi di Kolej Teknologi YPC-iTweb di Cheras.

Majlis hari ini menyaksikan 338 pelajar kolej berkenaan menerima diploma dan ijazah dalam pelbagai bidang pengajian.

Print Friendly
Posted by on Sunday: 2013-07-07 01:04. Filed under :: BLOG ::, AM, ISU SEMASA. You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0. You can leave a response or trackback to this entry
Komentar

Arkib

#PRAYFORMH370
Ajax spinner
Log in | Designed by Kamaluddin