Sarawak : Bubur pedas, kuih bongkol popular di Bazar Ramadan

- Thursday: 2012-07-19 07:57:45'.

Bazar Ramadan Saratok

SEBUT saja bubur pedas dan kuih bongkol, pasti ramai umat Islam di Bumi Kenyalang menunggunya sepanjang Ramadan ini.

Sambutan puasa di Sarawak tetap meriah, biarpun masyarakat Melayu dan umat Islam bukanlah kaum majoriti seperti di Semenanjung.  Malah, dari segi juadah berbuka puasa, ramai anak Semenanjung yang berkunjung di Sarawak mengakui hidangan berbuka di Sarawak lebih meriah dan pelbagai, selain unik kerana bukan saja makanan tradisional Melayu, makanan tradisional kaum lain turut menjadi pilihan.

Juadah tradisional masyarakat Melayu Sarawak terutama bubur pedas, memang sukar didapati di Semenanjung dan Sabah. Ia agak unik kerana diperbuat daripada rempah khas bubur pedas, selain keledek, udang atau boleh juga menggunakan ayam atau daging, kacang panjang, terung, udang kering, serai, jagung muda, daun cekur manis, ubi kentang, lobak, tahu kering, cendawan cina, kunyit, bawang putih, bawang merah, belacan, cili dan santan.

Bubur pedas

Bubur pedas ialah masakan paling popular di Sarawak ketika Ramadan. Ia boleh diperoleh di setiap Bazar Ramadan, kebiasaannya dijual dengan harga RM3 ke atas bagi setiap bungkus.

Mungkin namanya agak pelik dan asing bagi orang luar Sarawak, tetapi bubur yang diperbuat daripada lebih 10 jenis kerabu dan sayur-sayuran itu memang sedap, lemak dan pedas.

Begitu juga kuih bongkol, ia adalah kuih paling popular di setiap Bazar Ramadan. Kuih asli masyarakat Melayu Sarawak ini memang terkenal sejak dulu lagi, namun agak malang kerana kepopularannya juga menyebabkan ada peniaga mengambil kesempatan menaikkan harga kuih itu sesuka hati.

Kuih bongkol

Kuih bongkol hanya diperbuat daripada tepung beras, santan dan gula apong yang diadun, sebelum dimasukkan ke dalam daun pisang dan dikukus. Rasanya enak, lembut dan manis. Namun selain perasa gula apong, ada juga perasa gula pasir dan berperisa pandan.

Pendek kata, kuih bongkol memang berada pada carta paling atas dalam kalangan kuih muih tradisional di Sarawak, setiap kali Ramadan. Tidak lengkap rasanya juadah berbuka, tanpa kehadiran kuih bongkol.

Sejenis lagi kuih yang juga popular ialah celorot yang diperbuat daripada gula nipah atau gula kabung, santan dan tepung beras, dan ia juga dibalut dalam daun nipah.

Celorot

Juadah lain lain yang popular di Bazar Ramadan seluruh Sarawak ialah terubok panggang, tapai manis, pelbagai jenis bingka, bubur asyura dan macam-macam lagi. Selain juadah kaum etnik lain seperti ayam pansuh yang terkenal di kalangan masyarakat Iban serta kuih Chang dari kaum Cina, turut dijual di beberapa Bazar Ramadan, namun ia buat oleh kaum Melayu.

Satu lagi keunikan Sarawak ialah masyarakat pelbagai kaumnya saling mempelajari resipi kaum lain. Pada masa sama jika kita berkunjung di Bazar Ramadan, kaum lain pun turut sibuk membeli juadah.

Ramadan yang semakin hampir sememangnya membawa rezeki kepada peniaga.

Print Friendly
Print Friendly
Posted by on Thursday: 2012-07-19 07:57. Filed under BERITA, BORNEO, SARAWAK. You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0. You can leave a response or trackback to this entry
Komentar

Arkib

#PRAYFORMH370
Ajax spinner
Log in | Designed by Kamaluddin